Bila outing seorang diri atau bersama anak, saya lebih gemar keluar menaiki pengangkutan awam. Ini kerana kalau memandu, saya terpaksa tumpukan perhatian pada jalan raya. Kalau ternampak suatu yang menarik, pasti tidak dapat ambil gambar.
Kelebihan menaiki bas di hari cuti, kita akan terserempak dengan berbagai ragam manusia yang keluar bersantai; tidak seperti hari biasa kerana di hari biasa orang keluar pergi kerja dan mereka lazimnya kurang ramah. Orang yang menaiki bas di hari cuti lebih ramah.
Biasanya sebelum mengambil gambar orang dalam bas atau di khalayak ramai, saya akan cuba tarik perhatian mereka dengan memberi isyarat memohon untuk mengambil gambar. Kalau mereka membalas OK (melalui isyarat atau gesture) saya akan mula mengambil gambar.
Soalan yang anak saya ajukan tempoh hari, ketika outing ialah, "Bagaimana nak kenal orang yang akan izinkan ambil gambar mereka?"
Kalau lihat gambar Pink girl, jawapannya jelas. Biasanya orang yang cuba mengenakan feyen yang menonjol tidak kisah gambarnya diambil. Ini kerana cara mereka memilih pakaian juga sudah menjelaskannya, mereka inginkan perhatian. Apabila saya menuju kamera ke arah mereka sudah pasti menarik perhatian.
Walaupun begitu, perlu tunjukkan isyarat memohon kebenaran mengambil gambar terlebih dahulu. Jangan sekali-kali ambil gambar curi. Kadangkala, orang yang ramah sekalipun akan merasa marah sekiranya kita mengambil gambar curi. Ini kerana jika kita mengambil gambar curi (tanpa kebenaran), orang itu merasa privasinya telah dicabul.
Cara yang paling berkesan adalah mulakan perbualan terlebih dahulu. Kemudian jelaskan apa tujuan outing dan dimanakah gambar tersebut akan digunakan. Kalau orang itu menolak atau mula menunjukkan rasa kurang selesa, berhenti mengambil gambarnya.
6 komentar: