Pengikut (ada kelebihannya)

Selasa, April 28, 2009

Fotografi Makro Menggunakan Kamera Kompak, bahagian 3



Dalam pos ini, saya cuba tunjukkan mengapa kita perlu lebih teliti ketika mengambil gambar makro. Subjek saya hari ini ialah sekuntum bunga senduduk yang tumbuh dalam laman rumah saya. Sebenarnya saya lebih suka bunga senduduk yang tumbuh melata di kampung-kampung di Terengganu. Jenis dalam laman rumah saya ni mempunya bahagian dalam (stamen dan stigma) yang kecil dan kurang menarik. Hanya bahagian kelopaknya agak besar.




Balik semula ke topik makro. Saya ambil gambar ni waktu petang ketika matahari masih lagi terik. Agak sukar untuk saya fokus kerana terlalu banyak elemen yang mengelirukan kamera kerika memfokus. Pencahayaan pada bunga juga tidak kelihatan sekata, ada bahagian yang terkena cahaya yang terang, ada bahagian yang terkena bayang.




Angin juga menjadi masalah ketika saya mengambil gambar. Sedikit pergerakan pada bunga pasti akan menghasilkan gambar yang kabur kerana kamera berada dekat dengan subjek. Cuaca sekarang pula amat panas.










Gambar bunga yang diambil menggunakan mod makro.




Satu cara yang saya boleh lakukan ialah gunakan pastik lutcahaya atau kain muslin untuk saring cahaya agar sekata (diffuse). Kain tersebut juga mampu menghalang angin yang akan menyebabkan bunga bergoyang. Untuk stabilkan kamera, saya akan gunakan kaki tiga (tripod). Untuk lindungi kepala dari panas terik, mungkin saya akan gunakan topi koboi. Tapi saya ada lagi masalah lain, daun-daun latar belakang terlalu bercelaru, jadi saya ambil jalan mudah.


Saya telah memotong ranting yang mengandungi bunga tersebut dan isikan ke dalam botol berisi air. Kemudian saya letakkan botol tersebut di atas meja di tempat yang lebih teduh. Saya selesaikan masalah cahaya yang tidak sekata dan angin yang menyebabkan gambar kabur.


Saya gunakan kain putih sebagai latarbelakang yang juga bertindak sebagai pemantull cahaya. Jadi, cahaya yang sedia ada sudah memadai dan saya tidak perlu menambah cahaya tambahan.


Setting gambar tersebut adalah sebagaimana gambar yang saya tunjukkan berikut. Perhatikan bahawa saya tetap gunakan kaki tiga untuk memegang kamera. Ini memudahkan saya compose serta setkan kamera. Lagipun, dengan tripod saya dapat stabilkan kamera. Jadi ingat, tripod adalah penting untuk membantu anda mengambil gambar yang jelas.







Setting ringkas untuk mengambil gambar bunga dalam mod makro.


Ini gambar pertama saya. Perhatikan bahawa kamera telah memfokus pada latar belakang. Warna latar belakang juga lebih gelap dari sebenarnya. Ini kerana kamera menyukat cahaya secara pukul rata. Permukaan kain putih disetkan ke warna kelabu. Anda perlu laraskan dedahan supaya kamera merakam latar belakang ke warna sebenar iaitu putih.





Gambar di luar fokus. Kamera memfokus latar belakang.




Saya tekan butang pelepas pengatup (shutter release button) supaya ia fokus objek utama. Apabila bunya kelihatan jelas, saya tekan butang pelepas pengatup sepenuhnya.









Objek utama berada dalam fokus. Malangnya gambar kelihatan gelap kerana latarbelakang dirakam sebagai warna kelabu sedangkan warna sebenarnya putih. Akibatnya, bunga kelihatan lebih gelap dari biasa.





Gambar yang dirakam kelihatan lebih gelap dari biasa. Ini kerana kamera membuat ralat ketika membaca keamatan cahaya. Bacaan purata cahaya adalah nilai kelabu. Jadi warna putih latar belakang disetkan kepada kelabu. Hasilnya, gambar bunga lebih gelap.


Untuk merakan latar belakang sebagai putih, anda perlu setkan EI (Exposure Index) atau EV (Exposure Value) kepada +2, iaitu dua takuk (stop) dari bacaan semaca. Lazimnya kamera kompak mempunyai butang +/-. Setkan nilai ke +2.



Kemudian fokus dan ambil gambar. Nah sekarang gambar mempunyai latar belakang yang lebih cerah. Bunga juga kelihatan lebih jelas. Saya berpuas hati dengan gambar tersebut.






Gambar bunga setelah saya ubah setting EI kepada +2.





Ini pula gambar bunga yang sama yang saya ambil menggunakan kamera dSLR. Gambar manakah yang anda lebih suka?




Gambar bunga senduduk yang diambil menggunakan kamera dSLR.

1 ulasan:

  1. DsLR tidak di nafikan menghasilkan gambar yg menyerlah. Bunga senduduk tersebut lebih kelihatan urat2 nya...dan klihatan neutral:D

    BalasPadam