Pengikut (ada kelebihannya)

Khamis, April 30, 2009

Pencakar Langit.Kuala Lumpur

29Apr09 - Dalam minggu ini pagi pagi seawal 8am sudah dua kali berada ditingkat 25 disebuah bank dijalan Sultan Ismail. Inilah pemandangan kearah menara berkembar. Pemandangan bayangan 'silhoutte' sahaja kita dapat rakamkan jika kita mengambil gambar berdepan dengan matahari. Kebiasaanya silauan kanta atau 'lens flare' akan terbentuk.




Sekarang biar matahari dibelakang anda pula. Bangunan berbentuk 'shape' dengan cahaya terik dan condong.

Kelajuan Filem (Bahagian 3)

Indeks Dedahan (EI, Exposure Index) adalah nilai kelajuan yang diberikan pada filem tertentu ketika mengambil gambar. Ia adalah nilai ISO yang anda setkan pada kamera supaya kamera mengubah setting dedahan secara automatik.
EI tidak semestinya sama dengan kelajuan sebenar filem. Misalnya, anda mungkin setkan ISO pada kamera kepada 1600 sedangkan anda gunakan filem ISO 800 kerana anda mengambil gambar di tempat gelap tanpa bantuan lampu kilat. Ini pasti akan menghasilkan gambar yang kurang dedahan, jika diproses biasa.
Bolehkah kita buat begitu dan masih mendapat gambar yang sempurna? Boleh, dengan syarat anda beritahu pihak pemproses filem untuk mengubah suai teknik memproses. Teknik begini dikenali sebagai "push processing". Jika anda proses filem sendiri, tingkatkan masa pemprosesan filem (developing) sebanyak 50% dari masa biasa.
Perhatikan bahawa pada kelajuan filem dan pencahayaan yang tetap anda boleh imbangkan dengan dengan mengubah bukaan lensa dan kelajuan pengatup untuk mendapatkan dedahan yang sama.
Kalau anda tambah bukaan lensa sebanyak 1 stop, kurangkan kelajuan pengatup sebanyak satu stop. Misalnya, jika anda setkan bukaan pada F/5.6 dan kelajuan pengatup 1/125s, jika anda ubah bukaan ke F/4, laraskan kelajuan pengatup ke 1/250s.
Perhatikan kaitan antara bukaan lensa dan kelajuan pengatup. Ia dilaraskan secara songsang. Hukum ini dikenali sebagai kesongsangan atau reciprocity. Kalau anda gunakan kamera digital, annda boleh terus ikuti hukum ini. Kalau gunakan filem, ia hanya boleh digunakan jika anda setkan kelajuan pengatup antara 1/1000s ke 1/2s.
Jika suasana terlalu gelap, filem akan gagal berfungsi pada dedahan yang lama. Ini dikenali sebagai kegagalan kesongsangan atau reciprocity failure. Ini sering berlaku jika anda mengambil gambar di waktu malam.
Kalau begitu kenapa tidak gunakan filem laju sahaja, misalnya ISO 3200? Bukankah kita akan dapat selesaikan masalah kegagalan kesongsangan?
Bersambung...

Rabu, April 29, 2009

Kami seiras ke tidak??





Hai sori gambar my twin lagi..bukan nak promote anak tapi orang kata kembar l ni seiras tapi l tengok bukan seiras..kalau ikut teori kalau Mum yang bawa genetik tu akan jadi kembar tak seiras..and genetik kembar ni memang dari saya...cuba beri komen seiras ker tak...gambar masa kecik2 dia orang ni ada banyak dalam album tapi leceh lah nak scan2...

Perseimbangan cahaya.

Dedahan : ASA 200 -1/250 s f/8 - dedahan luar.

Jika anda mengambil gambar potret membelakangkan K L tower dari dalam bangunan lain, perseimbangan cahaya luar dan dalam perlu sama.

Dedahan : ASA 200 1/250S F/8.

saya gunakan lampu kilat (sb600) dari arah kiri dengan menggunakan minicell. Pastikan anda posisikan dari sebelah kiri model dengan kekuatan lampu EV f/8 juga.

Nota: Lampu kilat dari arah kamera akan mengakibatkan pembalikan (refection) pada cermin tingkap.



Kedua dua gbr atas diketik oleh Ce Mat.

Komentar (Outdoor)

Semua rakan teruja dengan kehadiran Normi tempoh hari, hingga kita terlupa untuk memberikan komentar terhadap gambar yang diposkan untuk komentar. jadi saya kedepankan semula gambar tersebut untuk rakan-rakan berikan pendapat. Siapa nak mulakan?

Kelajuan Filem (Bahagian 2)

Kelajuan Filem (atau sensor, atau dalam laras bahasa kita semua, ISO) -- apa gunanya?

Sebenarnya kelajuan filem digunakan untuk menentukan dedahan yang sesuai (dengan kesan yang kita kehendaki) ketika mengambil gambar. Biasanya amatur tidak kisah sangat tengan perkara teknikal sebegini, biar kamera aja yang tentukan. Lagipun buat apa bayar mahal-mahal untuk beli kamera kalau nak kira sendiri dedahan. Biarlah kamera yang tolong kita buat kerja remeh ni... kalau professional, lain pula ceritanya. Kalau semua ni remeh, tak kan ada orang menuntut sampai ke tahap sarjana dan kedoktoran dalam fotografi. Ilmu itu penting kalau mahu ke depan.

Profesional biasanya memikirkan tentang hasil kerja dengan kualiti yang tinggi. Mereka akan memulakan dengan persoalan, misalnya; apakah kesan yang dikehendaki? Kalau mengambil gambar potret cerah (high key) pasti setting dedahan berbeza dengan mengambil gambar potret gelap (low key).

Ada empat perkara yang perlu diambilkira ketika menentukan dedahan untuk mendapatkan kesan tertentu, iaitu: Pencahayaan, Kelajuan filem, Saiz bukaan (Aperture), dan kelajuan pengatup (shutter speed).

Walaupun pengiraan sebenar melibatkan rumus matematik yang rumit, kita masih boleh tentukan dedahan menggunakan petua asas sebagaimana yang akan dibincangkan serta bacaan meter kamera.

Secara asasnya, begini...
Seboleh-bolehnya saya cuba elakkan perkara yang terlalu teknikal, tetapi bila membincangkan tentang dedahan, ia memang suatu yang teknikal. Kalau rakan tidak tahu apa yang saya cuba katakan, jangan risau. Masih boleh ambil gambar dengan sempurna. Kalau faham, annda boleh tukar jurusan ke jurusan kejuruteraan, matematik atau jurusan yang setanding dengannya.
Rumus untuk mendapatkan kesan dedahan yang diingini dikira dalam nisbah 2, atau indeks 2, iaitu mnggunakan logaritma (asas 2) di kedua-dua arah. Alamak... semua dah tertidor, Baru nak mula ni....
Ok, ok, saya cuba jelaskan cara lain....
Kita boleh gunakan kiracampur menggunakan sistem APEX, iaitu setiap penambahan 1 dalam bukaan lensa (kecilkan nilai nombor-f), atau kelajuan pengatup (perlahankan satu takuk), atau kelajuan filem (gandakan nilai ISO) akan menggandakan dedahan. Kalau kurangkan 1 dalam bukaan lensa (tambahkan nilai nombor-f), atau kelajuan pengatup (lajukan satu takuk), atau kelajuan filem (kerangkan nilai ISO kepada separuh) akan membahagi dua dedahan. Setiap satu takuk itu dikenali sebagai satu stop.
Jadi, kelajuan filem dari 100 ke 200 adalah 1 stop. Kelajuan dari 100 ke 400 adalah 2 stop. Bukaan nombor-f dari f/8 ke f/5.6 adalah 1 stop, dari f/8 ke 4 adalah 2 stop. Begitu juga kelajuan pengatup dari 1/125s ke 1/60s adalah 1 stop dan dari 1/125s ke 1/30s adalah 2 stop.
Jadi untuk mengekalkan nilai dedahan, anda perlu mengimbang. Begini, kalau anda tambah bukaan sebanyak satu stop, kelajuan pengatup dikurangkan sebanyak satu stop, jika jumlah cahaya dan iso filem tidak berubah. Kalau jumlah cahaya berganda, anda kurangkan iso filem, atau bukaan lensa, atau kelajuan pengatup sebanyak 1 stop.
Kelajuan pengatup biasanya adalah seperti berikut (dalam saat):
2, 1, 1/2, 1/4, 1/8, 1/16, 1/30, 1/60, 1/125, 1/250, 1/500, 1/1000, 1/2000, 1/4000
Semakin laju pengatup, semakin kurang stop, jadi setiap pergerakan ke kanan adalah -1 stop. Setiap pergerakan ke kiri adalah +1 stop.
Bukaan lensa biasanya adalah seperti berikut (dalam f/):
1.4, 2, 2.8, 4, 5.6, 8, 11, 16, 22, ...

Semakin besar nilai-f semakin kecil bukaan lensa, jadi setiap pergerakan ke kanan adalah -1 stop. Setiap pergerakan ke kiri adalah +1 stop.
Nilai ISO sensor kamera digital boleh diubah. Jadi ia juga menjadi pembolehubah ketika mengira dedahan ketika mengambil gambar. Nilai ISO yang lazim adalah seperti berikut:
100, 200, 400, 800, 1600, 3200, 6,400
Semakin besar nilai ISO semakin kurang cahaya diperlukan untuk dedahan yang sempurna, jadi setiap pergerakan ke kanan adalah +1 stop. Setiap pergerakan ke kiri adalah -1 stop.
Bersambung...

Fotografi Makro Menggunakan Kamera Kompak, bahagian 4

Oleh kerana setting makro berupaya mengambil gambar objek pada jarak yang lebih dekat, ia amat sesuai digunakan untuk menyalin dokumen. Kebanyakan kamera kompak ada mempunyai setting tambahan untuk menyalin dokumen. Setting ini lazimnya dinamakan Documents.

Dalam mod Documents, beza-cahaya antara tulisan dan latarbelakang ditingkatkan supaya tulisan kelihatan lebih jelas.



Kamera kompak pada setting Documents. Penjelasan tentang setting tersebut dijelaskan.


Jangan risau kalau kamera kompak anda tidak mempunyai setting Documents. Anda boleh gunakan mod makro yang biasa dan buat perubahan berikut; padamkan lampu kilat dan tingkatkan nilai EV kepada +2 (jika warna kertas putih, jika warna kuning susu EV +1.3 sudah memadai).

Oleh kerana ketika menyalin dokumen lampu kilat tidak akan dinyalakan, anda perlu mengambil gambar di tempat yang mempunyai pencahayaan yang sekata. Ruang tamu amat sesuai digunakan sebagai tempat menyalin dokumen. Anda juga perlukan kaki tiga (tripod) untuk mempastikan kedudukan kamera stabil.

Gunakan sedikit double tape untuk melekatkan dokumen ke dinding. Pastikan tape yang digunakan sedikit dan tidak akan merosakkan dokumen. Lekatkan dokumen ke dinding, lebih kurang paras dada.

Pasangkan kamera ke kaki tiga (tripod). Laraskan supaya ia dapat mengambil gambar dokumen sepenuhnya. Pastikan kedudukan permukaan dokumen selari dengan kedudukaan permukaan sensor kamera.

Setting ketika mengambil gambar.

Setkan kamera ke mod Documents, atau mod makro (padamkan lampu kilat dan laraskan EV ke +2).

Fokus dan laraskan kamera supaya seluruh dokumen kelihatan. Ambil gambar.




Dokumen yang telah berjaya disalin.

Selasa, April 28, 2009

Awan diKuantan

27 April 09 - Kelmarin berada diKuantan diatas bangunan Teruntum. Nak ambil gambar sekitar Kuantan dari bgn tersebut. Bila diatas matahari dilindungi awan. Gambar masjid 'flat sahaja'.
Jika tiada sinaran matahari terik (mendung) -gambar hanya dua dimensi - tiada bentuk.

Beca

Gambar beca ni di ambil di Pasar Payang Kuala Terengganu menggunakan kamera hp.

Rakan Baru

Salam rakan semua. Hari ini kita ada menerima rakan baru iaitu Sdr Abdul Aziz Yusof. Sdr Abdul Aziz adalah seorang jurugambar yang mahir mengambil gambar dalam air (underwater photography). Bukannya guna kompak macam saya, tapi pakai peralatan yang lengkap kerana beliau bukan menyelam di Sg Tekala macam kita semua, tapi menyelam dalam laut sebenar.

Sdr Aziz base di Marang Terengganu, jadi bolehlah outing dengan Along Arman dan beberapa geng dari Trg nanti. Saya pun dah dua bulan tak terbang ke Trg ni.

Selamat datang Sdr Aziz ke Gelanggangfoto.

Apa pandang-pandang



Ini gambar anak sulung dan anak bongsu.Gambar dia ambil oleh Si kembar AIda..Nak tanya sifu-sifu kat sini macamana kita nak fokuskan objek yang kita nak ambil dan kabur kan objek yang lain dengan cara yang betul...Teknik ni saya nak gunakan dalam FOto makro yang Cg Is terangkan sebelum ni...Explanation must be base on digital camera yerkkk....



-----------------------------------

Fotografi Makro Menggunakan Kamera Kompak, bahagian 3



Dalam pos ini, saya cuba tunjukkan mengapa kita perlu lebih teliti ketika mengambil gambar makro. Subjek saya hari ini ialah sekuntum bunga senduduk yang tumbuh dalam laman rumah saya. Sebenarnya saya lebih suka bunga senduduk yang tumbuh melata di kampung-kampung di Terengganu. Jenis dalam laman rumah saya ni mempunya bahagian dalam (stamen dan stigma) yang kecil dan kurang menarik. Hanya bahagian kelopaknya agak besar.




Balik semula ke topik makro. Saya ambil gambar ni waktu petang ketika matahari masih lagi terik. Agak sukar untuk saya fokus kerana terlalu banyak elemen yang mengelirukan kamera kerika memfokus. Pencahayaan pada bunga juga tidak kelihatan sekata, ada bahagian yang terkena cahaya yang terang, ada bahagian yang terkena bayang.




Angin juga menjadi masalah ketika saya mengambil gambar. Sedikit pergerakan pada bunga pasti akan menghasilkan gambar yang kabur kerana kamera berada dekat dengan subjek. Cuaca sekarang pula amat panas.










Gambar bunga yang diambil menggunakan mod makro.




Satu cara yang saya boleh lakukan ialah gunakan pastik lutcahaya atau kain muslin untuk saring cahaya agar sekata (diffuse). Kain tersebut juga mampu menghalang angin yang akan menyebabkan bunga bergoyang. Untuk stabilkan kamera, saya akan gunakan kaki tiga (tripod). Untuk lindungi kepala dari panas terik, mungkin saya akan gunakan topi koboi. Tapi saya ada lagi masalah lain, daun-daun latar belakang terlalu bercelaru, jadi saya ambil jalan mudah.


Saya telah memotong ranting yang mengandungi bunga tersebut dan isikan ke dalam botol berisi air. Kemudian saya letakkan botol tersebut di atas meja di tempat yang lebih teduh. Saya selesaikan masalah cahaya yang tidak sekata dan angin yang menyebabkan gambar kabur.


Saya gunakan kain putih sebagai latarbelakang yang juga bertindak sebagai pemantull cahaya. Jadi, cahaya yang sedia ada sudah memadai dan saya tidak perlu menambah cahaya tambahan.


Setting gambar tersebut adalah sebagaimana gambar yang saya tunjukkan berikut. Perhatikan bahawa saya tetap gunakan kaki tiga untuk memegang kamera. Ini memudahkan saya compose serta setkan kamera. Lagipun, dengan tripod saya dapat stabilkan kamera. Jadi ingat, tripod adalah penting untuk membantu anda mengambil gambar yang jelas.







Setting ringkas untuk mengambil gambar bunga dalam mod makro.


Ini gambar pertama saya. Perhatikan bahawa kamera telah memfokus pada latar belakang. Warna latar belakang juga lebih gelap dari sebenarnya. Ini kerana kamera menyukat cahaya secara pukul rata. Permukaan kain putih disetkan ke warna kelabu. Anda perlu laraskan dedahan supaya kamera merakam latar belakang ke warna sebenar iaitu putih.





Gambar di luar fokus. Kamera memfokus latar belakang.




Saya tekan butang pelepas pengatup (shutter release button) supaya ia fokus objek utama. Apabila bunya kelihatan jelas, saya tekan butang pelepas pengatup sepenuhnya.









Objek utama berada dalam fokus. Malangnya gambar kelihatan gelap kerana latarbelakang dirakam sebagai warna kelabu sedangkan warna sebenarnya putih. Akibatnya, bunga kelihatan lebih gelap dari biasa.





Gambar yang dirakam kelihatan lebih gelap dari biasa. Ini kerana kamera membuat ralat ketika membaca keamatan cahaya. Bacaan purata cahaya adalah nilai kelabu. Jadi warna putih latar belakang disetkan kepada kelabu. Hasilnya, gambar bunga lebih gelap.


Untuk merakan latar belakang sebagai putih, anda perlu setkan EI (Exposure Index) atau EV (Exposure Value) kepada +2, iaitu dua takuk (stop) dari bacaan semaca. Lazimnya kamera kompak mempunyai butang +/-. Setkan nilai ke +2.



Kemudian fokus dan ambil gambar. Nah sekarang gambar mempunyai latar belakang yang lebih cerah. Bunga juga kelihatan lebih jelas. Saya berpuas hati dengan gambar tersebut.






Gambar bunga setelah saya ubah setting EI kepada +2.





Ini pula gambar bunga yang sama yang saya ambil menggunakan kamera dSLR. Gambar manakah yang anda lebih suka?




Gambar bunga senduduk yang diambil menggunakan kamera dSLR.

Isnin, April 27, 2009

Fotografi Makro Menggunakan Kamera Kompak, bahagian 2

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini (dalam bahagian 1), terdapat butang “macro” yang digunakan untuk ubah mod memfokus dari normal ke makro. Dalam ini kamera berupaya merakam gambar objek yang dekat dengan jelas.


Kini kamera kompak menawarkan beberapa opsyen tambahan dalam mod macro.
Berikut adalah opsyen yang dimaksudkan.



1. Mod Macro, membolehkan anda mengambil gambar objek yang dekat. Ia mampu menghasilkan saiz objek imej yang menyampai saiz objek sebenar. Sekiranya cahaya tidak mencukupi, lampu kilat dipasang. Ini menghasilkan imej yang jelas. Bagaimanapun, kadangkala cahaya dari lampu kilat menghasilkan imej dengan beza-cahaya (contrast) yang terlalu tinggi. Ini boleh merosakkan mutu gambar yang dihasilkan. Dalam bahagian berikutnya saya akan jelaskan beberapa cara untuk mengatasi masalah ini.


2. Mod SuperMacro, membolehkan anda mengambil gambar objek yang lebih dekat dari mod pertama. Ia mampu menghasilkan saiz objek imej yang lebih besar dari objek sebenar. Oleh kerana kamera diletakkan terlalu dekat dengan objek, lampu kilat tidak akan dipasang.


3. Mod SuperMacro dengan cahaya, membolehkan anda mengambil gambar objek yang lebih dekat dari mod pertama, iaitu sama dengan mod kedua tetapi dengan cahaya yang disuluh secara berterusan. Ia mampu menghasilkan saiz objek imej yang lebih besar dari objek sebenar dengan kualiti yang lebih elok kerana cahaya mencukupi. Mod ini sesuai digunakan ketika mengambil gambar di tempat yang kurang cahaya.




Tiga opsyen mod "macro" yang ditawarkan dalam sebuah kamera kompak.

Perhatikan gambar berikut. Ia diambil menggunakan 3 opsyen makro yang berbeza.



Gambar yang diambil menggunakan mod macro.



Gambar yang diambil menggunakan mod SuperMacro.



Gambar yang diambil menggunakan mod SuperMacro dengan cahaya.



Ada beberapa masalah yang anda akan hadapi ketika mengambil gambar makro. Pertama, oleh kerana imej yang dihasilkan adalah besar, walaupun pergerakan yang sedikit akan menghasilkan gambar yang kabur. Kedua, masalah pencahayaan. Kedudukan lampu kilat yang terlalu dekat mampu merosakkan kualiti gambar yang dihasilkan. Saya akan jelaskan cara menyelesaikan masalah ini dalam artikel seterusnya, iaitu bahagian 3.

Pucuk Manis & Sungai (foto editing)


Muzium Losong

Salam semua,

Ni first entry daripada Along. Dua keping gambar yang Along snap di Muzium Losong, Terengganu pada 14 Mac yang lalu. Sebenarnya banyak juga gambar yang di kongsikan di sini. Tapi sebagai permulaan saya share dua keping gambar ni dulu. Salam kenal buat semua.


Buah Palma

Buah Palma. April 2009

Nazir dan Halim, Laman Seni di Putrajaya

Sarapan di Laman Seni, Putrajaya. April 2009.

Gambar diambil menggunakan kamera analog diisi dengan filem hitam putih, iaitu Kodak BW400CN dan diproses di kedai gambar biasa kerana filem ini menggunakan proses yang sama dengan filem warna. Lensa dipasang dengan penyaring hijau.
Saya hanya mengupah kedai gambar memproses filem. Negatif diimbas untuk ditukar ke format digital.
Rakan mungkin terlintas difikiran, mengapa saya nyatakan jenama filem ini. Sebelum ini ada di antara rakan kita yang ingin mencuba filem hitam putih. Masalah menggunakan filem hitam putih ialah jika kita tidak memproses sendiri filem, ke mana filem akan dihantar untuk diproses. Kalau gunakan filem hitam putih konvensional, ini pasti memakan masa yang lama kerana filem akan dihatar ke lab khas. Untuk memproses sahaja, ada kedai yang kenakan bayaran sehingga RM28 satu gulung, bayar dulu. Kalau hanya untuk main-main, pasti bengkok sebelum cukup bulan.
Ada cara yang lebih murah. Rakan boleh gunakan filem hitam putih yang menggunakan proses yang sama dengan filem warna. Jadi, rakan boleh hantar ke mana-mana kedai gambar untuk diproses. Kalau proses sahaja tanpa cetak, lazimnya mereka kenakan bayaran sekitar RM5.
Kemudian, rakan boleh imbas filem untuk ditukar ke format digital. Kalau tidak memiliki pengimbas, rakan boleh minta kedai gambar imbas dan masukkan ke dalam CD. Mereka akan kenakan bayaran tambahan, sekitar RM5.

Potret Anak



Ketika outing di KLCC. Potret diambil menggunakan kamera SLR analog menggunakan filem Kodak BW400CN. Filem ini boleh diproses menggunakan bahan kimia yang sama dengan pemproses filem warna, iaitu C-41. Saya hanya mengupah kedai gambar mencuci filem. Negatif diimbas sendiri.
Pengimbas yang boleh digunakan untuk mengimbas filem dilengkapi dengan penyesuai filem yang digunakan untuk memegang filem ketika mengimbas. Ilustrasi berikut menunjukkan penyesuai filem yang dibina dalam penutup pengimbas. Ketika mengimbas, lampu dalam penutup pengimbas akan terpasang. Ia akan memancarkan imej yang terhasil selepas cahaya melalui filem ke atas sensor.



Kelajuan Filem (Bahagian 1)

Hari ni (Ahad malam) seperti biasa saya duduk sambil mencuci habuk yang terlekat pada kamera dan lensa. Mak oi banyak nya habuk. Kemudian saya keluarkan filem dari beg kamera untuk disimpan ke dalam laci. Dah tua-tua ni, ambil gambar pun tak sebanyak dulu. Kalau dullu, sekali keluar, 10 gulung pasti habis. Sekarang, kalau dapat setengah gulung pun kira ok.
Seperti biasa, anak-anak yang masih kecil akan sibuk sama – ingin membantu. Jadi saya suruhlah mereka susun filem ke dalam laci.


Kemudian anak bertanya, “Papa, kenapa ada nombor pada kotak filem ni. Yang ini nombor 50, yang ini 200, yang ini pula 400.”




Nombor yang dipamerkan pada kotak filem menunjukkan kelajuannya. Apakah yang dimaksudkan dengan kelajuan filem?




“Oh, itu film speed.” Jawab saya. “Filem pun ada speed ya papa?” soal anak lagi. Entah apa yang terbayang dalam imaginasi dia. Filem, ada speed… macam kereta lah pula.

Kelajuan Filem, bagaimana nak jelaskannya?




Kelajuan filem adalah suatu ukuran kepekaan filem terhadap cahaya. Ada beberapa unit atau skala bernombor yang lazim digunakan. Unit terbaru dikenali sebagai ISO. Ia merujuk kepada dua unit asas iaitu ASA/DIN. ASA adalah unit Amerika dan DIN adalah unit belanda, disebut dalam darjah (o).


Filem yang kurang sensitif terhadap cahaya (secara relatif kepada filem yang lain) memerlukan lebih banyak kuantiti cahaya untuk mendapat dedahan yang sempurna. Filem sebegini disebut filem perlahan. Filem yang amat sensitif pada cahaya memerlukan kuantiti cahaya yang sedikit untuk mendapat dedahan yang sempurna. Ia disebut sebagai filem laju.


Lazimnya, filem perlahan mempunyai emulsi yang sempurna dengan ketepuan warna yang tinggi. Filem laju mempunyai bintik yang jelas serta ketepuan warna yang sederhana.


Dalam unit ISO, apabila kepekatan cahaya berganda, nilai ASA di darab 2 dan nilai DIN ditambah 3o. Misalnya, filem ISO 100/21o memerlukan cahaya dua kali ganda filem ISO 200/24o. Dalam perbualan biasa, kita jarang sebut nilai DIN dalam ISO. Filem 100/21o lazimnya hanya disebut ISO 100.


Orang yang berjaya kepada umat manusia dengan memikirkan tentang cara menyukat kepekatan filem (sensitometri) ialah Ferdinand Hurter dan Vero Charles Driffield, kalau tak salah saya sekitar tahun 1870an. Sebab itu dalam sains sensitometri, nilai indeks yang digunakan menggunakan nama mereka sebagai menghargai jasa mereka dalam sains sensitometri.


Dalam kamera digital indeks dedahan (exposure index atau EI) lazimnya juga dirujuk sebagai ISO. Walaupun secara teknik ISO dalam filem dan ISO dalam sensor berbeza (kerana filem berasaskan kimia dan sensor berasaskan elektronik), secara asasnya ia seakan akan. Dalam keadaan biasa anda boleh gunakan cara yang sama untuk menilai dedahan. Cuma dalam suasana cahaya yang kurang, filem gagal berfungsi secara biasa. Kegagalan ini dikenali sebagai reciprocity failure. EI dalam kamera digital pula boleh dilaraskan. Ciri ini menyebabkan penggunaan kamera digital lebih anjal jika dibandingkan dengan filem.


Jadi, bagaimana nak jelaskan ini semua pada anak yang ingin tahu? Tepuk dada tanyalah selera. Atau, tepuk dahi suruh mereka main jauh-jauh?

Ahad, April 26, 2009

Geng Kapal Terbang Kertas...

Dari kiri Denial, Achim dan Nadira (langgar pantang...)




Saya pun tak tau entah anak siapa entah ni...

Rakan Baru

Rakan-rakan tentung perasan posting komentar dari rakan baru yang kita terima hari ini. Selamat datang Along Arman ke Gelanggangfoto. Kalau tidak keberatan Along bolehlah perkenalkan diri pada rakan-rakan Gelanggangfoto.

Semalam di Johor Bharu

25 April 09 Sabtu-Tiba di J.Bharu pukul 2.0 am. Menginap dihotel ekonomi sebab hendak berehat dalam 4 jam sahaja selepas itu kami akan beredar untuk tugas khas yang hendak diselesaikan.
Set penggera H/P pukul 6.30am; nak sembahyang subuh. Bila bangun 6.30am di JB cahaya terang benderang.Subuh sudah habis.Suria cepat keluar disini.Tengok ditingkap bilik air banyak gerai gerai memanggil manggil untuk bersarapan.Bandar ini sudah kelihatan bersih pula pada kali ini dan hotel budget pun berpatutan sekitar RM70 .

Sabtu, April 25, 2009

Shopping, Teknik Membingkai (Framing)

Shopping di Laman Seni, Putrajaya.
Lazimnya apabila kita mengambil gambar, ada banyak elemen yang termasuk sekali ke dalam gambar. Ini sering berlaku kalau kita mengambil gambar di luar. Ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk menarik perhatian penonton ke arah subjek utama.
Dalam gambar di atas, saya gunakan teknik yang dikenali sebagai “framing” atau membingkai. Dengan memasukkan elemen kain sidaian di sebelah sempadan kanan gambar (berada di luar fokus), ia seolah-olah memandu mata pemerhati ke arah dua gadis dalam gerai.
Kalau diperhatikan, ada banyak gambar lain yang dipos ke dalam Gelanggangfoto yang menggunakan teknik membingkai. Yang pasti, teknik ini amat mudah diperolehi dan gambar yang dihasilkan agak menarik. Ia amat berkesan untuk mengukuhkan komposisi gambar. Antara gambar yang saya maksudkan adalah seperti berikut.
http://www.gelanggangfoto.com/2009/04/sorry-kawan-ada-busy-sikit.html
(Tangan pelayan kedai berfungsi sebagai bingkai).
(Paku-pakis bertindak menjadi bingkai Tarzan. Menarik...)
http://www.gelanggangfoto.com/2009/01/kuala-terengganu-1.html

Sekiranya menggunakan kamera kompak, ada kemungkinan objek lain yang akan difokus menyebabkan subjek utama menjadi kabur. Untuk selesaikan masalah tersebut, ikut langkah berikut.

Tuju kamera ke arah subjek utama. Tekan butang pelepas sedikit tetapi berulang-ulang untuk fokus subjek utama. Apabila subjek utama dalam fokus, tekan butang pengatup separuh dan jangan lepaskan. Tujuannya adalah untuk kunci fokus pada subjek utama. Ubah arah kamera untuk compose semula gambar. Pastikan objek bingkai masuk dalam gambar. Apabila anda dapat komposisi yang dikehendaki, tekan butang pengatup sepenuhnya. Gambar dirakam.

aku sudah pulang ke pangkal jalan....hehehehehe....

Salam buat semua rakan....
Ada khabar baik dari seberang (seberang Laut China Selatan jer (Sabah))......Saya akan ditukarkan bertugas di Kuala Lumpur pada 1 Mei ini. Jadi saya sudah boleh join kengkawan outing lepas ni. Boleh jugak saya tingkatkan ilmu fotografi saya bersama sifu-sifu semasa outing. Saudara Nazir, saudara Halim, C. Is dan Sifu Shukor harap boleh lah berikan tunjuk ajar kepada saya yang masih mentah ni.

Jumaat, April 24, 2009

Fotografi Makro Menggunakan Kamera Kompak, bahagian 1



Wah rakan Gelanggangfoto yang baru ni kira hebat-hebat belaka. Kita masih bermain dengan gambar yang lazim, mereka semua dah explore topik baru. Ini suatu perkembangan yang baik. Dapatlah kita memperbanyakkan lagi topik perbincangan. Apa yang Sdri Ila cuba dalam gambar 2, buah rambutan mentah dan Sdri Norhamiza cuba dalam pos Sekuntum Mawar Merah adalah satu cabang fotografi yang dikenali sebagai fotografi makro (ada juga yang memanggilnya fotomakrografi).


Kalau rakan perhatikan artikel yang saya poskan pada 2 April 2009 yang bertajuk Petua Untuk Orang Baru (Kamera Kompak), saya ada nyatakan dalam petua ke 5 supaya jangan terlalu dekat dengan subjek. Petua tersebut saya tulis dengan andaian rakan mengambil gambar biasa. Kalau ingin mengambil gambar dekat, boleh juga... tapi rakan perlu ubah setting pada kamera kepada “macro”. Biasanya ia mempunyai ikon bunga.





Butang mod 'macro'.



Artikel tentang makro ini difokus pada penggunaan kamera kompak. InsyaAllah artikel untuk penggunaan dSLR akan menyusul. Kalau ingin dibincangkan tentang fotografi makro menggunakan dSLR, skopnya terlalu luas. Saya pasti, artikel itu sendiri boleh dikompil menjadi buku. Hah, siapa mahu join saya tulis buku tentang fotografi makro boleh “hello” bila senang-senang nanti.



Mengapa saya fokus artikel ini pada kamera kompak? Kedua-dua rakan kita yang explore fotografi makro menggunakan kamera kompak (dan kamera hp), jadi buat permulaan ni elok saya tumpukan perhatian pada fotografi makro menggunakan kamera kompak. Lagipun ciri makro yang ada dalam kamera kompak masakini amat menakjubkan.


Fotografi makro atau fotomakrografi, kalau dijelaskan dalam bahasa yang mudah ialah mengambil gambar dengan meletakkan kamera dengan dengan subjek, iaitu lebih dekat dari jarak yang lazim. Misalnya, jika kamera anda mampu memfokus objek dari 1 meter hingga sejauh mungkin (infiniti), dengan fotografi makro, anda mungkin meletakkan kamera dengan jarak 0.3 meter. Kalau anda memfokus secara biasa, pasti anda akan dapat gambar yang kabur di luar fokus. Tetapi, dengan setkan kamera kompak ke mode “macro”, gambar kelihatan jelas. Oleh kerana kamera diletakkan dekat dengan subjek, fotografi sebegini kadangkala dikenali sebagai “close-up”.


Subjek yang diambil kelihatan amat besar, biasanya memenuhi skrin LCD kamera.


Buah ini amat kecil. Ia mempunyai garispusat sekitar 2cm. Lihatlah saiznya apabila diambil menggunakan kamera kompak dalam mod makro yang dipasang pada monopod. Cahaya dipancarkan oleh kamera secara berterusan ketika saya mengambil gambar.



Secara amnya fotografi makro digunakan untuk mengambil gambar objek yang kecil supaya ia kelihatan besar kadangkala sebesar objek sebenar. Ia digunakan untuk mengambil gambar bunga, buah di atas pokok, rama-rama, pepatung, atau lain-lain serangga, duit syiling, klip kertas, atau apa-apa sahaja yang kecil.



Sejambak bunga kesidang. Gambar diambil menggunakan kamera kompak yang dilekatkan pada monopod. Tiada pencahayaan tambahan digunakan.



Putik bunga senduduk. Perhatikan bulu halus pada tampuk putik bunga tersebut. Fotografi makro mampu membesarkan imej objek yang kecil. Gambar diambil menggunakan kamera kompak yang dilekatkan pada monopod. Tiada pencahayaan tambahan digunakan.

Mentah Lagi....

Mentah lagi.....
Begitulah perumpamaan buat empunya gambar ini..Masih mentah dalam ilmu mengambil gambar.Tapi jika ada kehendak di situ pasti ada jalan....

Ini salah satu gambar yg saya kutip dari hasil tangan gatal saya sewaktu di kampung tahun lepas. Lokasi di hadapan rumah ibu bapa saya.

Musim buah..memang membuat hati rasa teruja:D

Sekuntum mawar merah





Saya ambil gambar ni menggunakan digital camera...kenapa tak cantik mcm En Is ambik gambar..Camera quality factors or skill factor yang buat dia tak cantik....


---------------------------------