Kamera digital adalah suatu ciptaan yang membawa kesejahteraan pada ibu bapa yang baru. Saya teringat di zaman filem dulu, saya perlu ambil gambar pengenalan anak untuk mendaftar kelahiran dan membuat paspot ketika menuntut.
Saya pergi ke studio gambar di New York kerana ingin ambil gambar anak. Saya rasa umur anak dalam 2 minggu. Bila receptionist studio melihat bayi kecil, jawapan yang diberikan agak mengewakan... Saya cuba beberapa studio dan jawapannya sama. "We don't shoot babies."
Tiada peralatan, atau tidak dilatih, mungkin itulah alasannya. Mungkin di sana, bila jurugambar keluar untuk mengambil gambar, pembantu mengambil alih mengambil gambar. Bila ada subjek yang lain dari biasa mereka akan menolak. Mungkin kerana tidak mahu mengambil risiko, kalau gambar tidak elok, atau ditolak oleh jabatan yang memerlukan gambar tersebut. Orang pasti bertanya studio mana ambil gambar, pasti nama baik mereka akan rosak. Ini tidak elok untuk bisnes.
Kendalian kamera analog (filem) lebih cerewet kerana filem perlu diproses dan dicetak sebelum hasil dapat dilihat. Kalau kamera digital, mudah. Kalau gambar yang terhasil kurang memuaskan, ia dapat dilihat dengan kadar segera dan boleh ambil semula dalam sessi yang sama.
Terpaksalah saya bawa anak kembali ke rumah dan ambil sendiri. Kemudian, filem diproses dalam closet (almari). Tiba di pejabat Consolate, saya tunjukkan gambar. OK, boleh pakai, kata pegawai. Lega, kalau dah sampai di bandaraya dan pegawai tidak terima, entah ke mana saya perlu bawa anak untuk ambil gambar.
Tidak lama selepas itu, rakan-rakan lain yang memerlukan gambar bayi untuk gambar rasmi mula mencari saya, terutamanya rakan dari Indonesia. Pak Aceh Suryadi (Ketua Direktorat, Kementreian Pendidikan Indonesia) adalah antara rakan yang memperkenalkan saya kepada rakan-rakan lain dari Indonesia.
Mengambil gambar bayi bukannya suatu yang rumit, apa lagi dengan kamera kompak. Rakan juga boleh jadi pakar mengambil gambar kanak-kanak dalam masa yang singkat. Rakan perlu tahu kendali anak serta ibu bapa dengan baik. Ingat, ibu bapa mana yang tidak bangga dengan anak mereka. Mungkin inilah sebabnya, walaupun hampir semua orang memiliki kamera, ada jurugambar kanak-kanak yang menjadi multi-millionaire hasil dari mengambil gambar kanak-kanak.
Jika menggunakan perkhidmatan pembantu, pastikan pembantu tersebut seorang yang ramah dan gemar mendampingi kanak-kanak. Masalah dengan orang kita, senyum mereka mahal. Sedangkan melempar senyuman itu tidak perlukan bayaran atau tenaga yang banyak.
Saya pernah ambil kursus Child Photography ketika di New York dulu. Ia 10% fotografi, 90% psikologi. Perkara yang boleh dibuat serta perkara yang pantang dilakukan ada diajar.
Hari ini saya sedang menyiapkan buku Koleksi Tip Asas Fotografi Digital. Malam ni siaplah tu, sambil celah-celah dengan mengagah baby. InsyaAllah selepas ini saya akan menulis satu siri buku yang lebih specialised. Sedang fikir-fikir penerbit mana yang saya ingin serahkan skrip tersebut.
Tentang Child Photography
Untuk Child Photography, perhatikan hasil kerja jurugambar Jerman, Loretta Lux. Beliau tidak mahu beritahu jenis kamera yang digunakan. Perhatikan namanya, ada tak persamaan dengan mana-mana kamera?
Kalau diperhatikan, Loretta mengawal semua angle dalam imej yang dihasilkan. Pakaian, lokasi, rambut, ekspresi pada wajah kanak-kanak, serta pencahayaan dikawal. Dia berjaya menonjolkan personaliti orang dewasa dari subjek kanak-kanak.
Pakaian kanak-kanak tersebut juga menunjukkan ia bukan dari mana-mana jenama yang dibeli yang boleh di kedai. Pakaian fesyen ala kampung tetapi kemas. Yang pasti, pakaian ditempah khas bersesuaian dengan personaliti yang ingin ditonjolkan.
Kunjungi laman web tersebut dan buat analisis gambar-gambar yang dipamerkan. Tengok bagaimana beliau bermain dengan latar belakang, warna, dan sebagainya. Mungkin dapat memberikan inspirasi pada rakan-rakan yang ingin specialise dalam bidang ini.








































