Merakam Imej Bayi Orang seringkali kaitkan bayi dengan suatu yang mudah cedera (fragile) dan tidak banyak bergerak. Ini mungkin benar bagi bayi yang baru lahir kerana ia menghabiskan masa dengan tidur dan menyusu sahaja. Walaupun begitu, ia bukannya suatu yang tidak baik. Ini kerana walaupun bayi tidak pandai menggayakan diri untuk fotografi, anda boleh gayakan bayi tersebut dan dia pasti tidak akan membantah. Gaya yang paling sesuai dan popular ialah kedudukan seperti janin.
Dari pemerhatian saya, selepas satu bulan, bayi akan mulai aktif. kalau anda kacau tidurnya, ia akan menangis. Jika anda bernasib baik ia tidak menangis dan akan menggerakkan kaki dan tangan secara luar kawalan. Sekiranya anda merakam gambar yang sendat (tight shot) anda perlu tunggu detik yang sesuai, iaitu apabila tangan dan kaki berada pada kedudukan yang dikehendaki, iaitu berada dalam bingkai imej. Untuk mendapat imej yang tidak kabur, gunakan kelajuan pengatup yang tinggi.
Ada ibu bapa yang kurang senang jika anda gunakan lampu kilat ketika sesi fotografi takut merosakkan mata anak. Sebenarnya tiada bukti yang lampu kilat merosakkan mata bayi. Namun begitu, cahaya yang terang dari lampu kilat pasti membuatkan bayi tidak selesa. Elakkan penggunaan lampu kilat yang berlebihan.
Dalam imej berikut, saya merakam gambar anak menggunakan cahaya dari tingkap di waktu pagi. EI disetkan ke ISO400 untuk menggunakan kelajuan pengatup yang tinggi.
Bayi berumur 2 bulan sangat aktif. Walaupun belum dapat mengawal anggota badan, kaki dan tangan bergerak tanpa henti secara luar kawal. Pada umur ini, bayi telah dapat tersenyum apabila diagah.

Gambar 1: Bayi berusia 2 bulan sangat aktif.

Gambar 2: Tangan dan kaki bayi bergerak secara luar kawal tanpa henti. Gunakan kelajuan pengatup yang tinggi untuk elakkan imej kabur.
Gambar 3: Bayi berusia 2 bulan sudah mampu memerhati orang yang menarik perhatiannya.
Gambar 4: Bayi tersenyum apabila diagah.

Gambar 5: Bayi yang tersenyum pasti memikat hati pemerhati.