Pengikut (ada kelebihannya)

Selasa, Januari 26, 2010

Fotografi Potret, Bahagian 1




Agak lambat sedikit posting artikel saya kali ini.   Sebenarnya, artikel tentang konsep gubahan masih belum lengkap.  Masih banyak yang ingin saya sampaikan, malangnya kebanyakan imej yang saya ingin gunakan dalam artikel tersebut dirakam menggunakan filem.  Kali ini filem dihantar ke kedai untuk diproses kerana developer yang saya bancuh sudah semakin lemah.  Saya belum sempat ke tempat pengedar untuk dapatkan bekalan yang baru, jadi saya ambil jalan mudah iaitu hantar aja filem ke kedai untuk diproses.  Kini tidak ramai orang yang gunakan filem hitam putih, jadi tidak banyak kedai yang memproses filem tersebut.  Ini menyebabkan ia memakan masa yang lama kerana filem banyak bertukar tangan sebelum diproses.  Pemproses juga mngenakan cas yang mahal kerana kini jarang orang mengambil gambar menggunakan filem hitam putih.   Saya dikenakan cas memproses sebanyak RM28 satu gelung!

Buat sementara waktu, elok saya poskan artikel tentang potret.  Lagipun saya perhatikan ada beberapa potret yang menarik perhatian saya yang diposkan oleh Sdr Shukor, Sdri Normi dan Sdri Norhamiza.

Kalau zaman saya menuntut dulu, potret ditakrifkan oleh guru saya sebagai gambarfoto yang menceritakan tentang seseorang (subjek).  Ia bukan setakat imej seseorang.  Imej tersebut ada menceritakan tentang peribadi orang tersebut.  Kalau subjek seorang guru, anda akan tahu subjek tersebut adalah seorang guru.  Dari imej juga anda akan dapat tahu adakah watak beliau, misalnya kalau guru, adakah beliau seorang guru yang lembut, tegas, atau yang garang.  Kalau subjek seorang doktor, anda akan tahu, ini potret seorang doktor.

Perhatikan imej yang diposkan oleh Sdr Shukor (Potret Pelukis). Bagaimana anda tahu subjek tersebut adalah seorang pelukis atau seorang seniman.  Perhatikan wajah subjek tersebut.  Bagaimana pula perasaannya terhadap haiwan?

Potret tidak semestinya orang lain.  Anda boleh rakam potret sendiri.  Ini boleh dilakukan dengan mudah jika anda memiliki self-timer atau pelepas kawalan jauh.

Perhatikan pula potret sendiri yang diposkan oleh Sdri Normi.  Perhatikan ekspresi wajahnya.  Perhatikan cara beliau posing.  Dapatkah anda meneka apakah pekerjaan Sdri Normi?  Dari gambar tersebut dapatkah anda kesan apakah hobi beliau?

Kalau dibaca takrif am tentang potret, ia bukan terhad pada gambarfoto sahaja.  Potret adalah gambarfoto, atau lukisan, atau teks yang menceritakan tentang seseorang.

Sekiranya anda serious ingin menjadi seorang jurugambar potret, anda perlu berlatih menghasilkan imej yang dapat dibezakan antara potret dengan snapshot.  Snapshot orang boleh didapati di mana-mana.  Potret yang berkesan agak sukar dihasilkan.  Ia perlukan tumpuan ketika menghasilkannya.

Anda perlu bermain dengan gubahan, pencahayaan, ekspresi pada wajah, prop, atau apa-apa sahaja yang dapat menceritakan tentang orang tersebut.  Dalam pada itu, anda juga perlu pastikan imej yang anda hasilkan adalah ringkas dan mudah difahami.

Jika anda ingin hasilkan potret seorang doktor, memadai beliau memakai lab coat putih yang lazimnya dipakai oleh doktor.  Tidak perlu anda masukkan katil pesakit, CT Scan dan lain-lain peralatan yang canggih.

Potret yang elok adalah ringkas.

Oleh kerana cahaya mempengaruhi mood sesebuah imej, anda perlu bermain dengan cahaya ketika merakam potret.

Perhatikan imej berikut.  Apakah watak subjek utama (di tengah)?  Apakah kerjayanya?  Megapakah imej dicondongkan sedikit?






Sekiranya anda ingin rakam imej sendiri, apakah yang anda ingin tonjolkan tentang diri anda?  Apakah yang anda akan gunakan sebagai prop?  Pencahayaan yang bagaimanakah yang anda akan pilih.  Adakah anda akan rakam potret penuh atau sebahagian dari badan?  Bagaimana pula dengan titik pandangan?







0 komentar:

Catat Ulasan