Seorang rakan bertanya, mengapa gunakan SLR, tidak gunakan kompak sahaja. SLR saiznya besar, cerewet dan perlu banyak belajar untuk hasilkan gambar yang elok. Tidak seperti kompak, lekatkan pada monopod dan ambil gambar. Gambar sharp dan memuaskan.
Kompak atau dslr, semua boleh asalkan dapat tangkap gambar dengan elok dan memuaskan hati. Ada sebab ramai orang gunakan dslr. Sebab utama saya gunakan dslr adalah "control". Dengan dslr saya dapat mengawal dedahan sepenuhnya.
Contohnya begini. Saya berada dalam ruang foodcourt berdekatan Masjid Putrajaya. Saya ingin mengambil gambar seorang wanita yang sedang mengemas meja. Cahaya membelakangkan subjek, iaitu wanita tersebut. Saya setkan bukaan kamera kepada f/6.3. Kamera memberikan bacaan kelajuan pengatup 1/60s. Saya mengambil gambar mengikut bacaan tersebut. Hasilnya, Foto 1. Bacaan ini menghasilkan dedahan pada pokok palma di dalam latarbelakang dan benda-benda atas meja dengan sempurna. Subjek utama (wanita) kelihatan gelap. Ada sedikit detail pada wajah, tetapi kurang jelas. Ini kerana kamera memberikan bacaan purata iaitu bacaan keseluruhan yang memberikan imej dengan dedahan yang boleh diterima. Kalau anda gunakan kompak, inilah rupa gambar yang anda akan dapat. Keputusan telah dibuat oleh kamera. Perlu diingatkan, kamera hanyalah alat. Ia membuat keputusan berdasarkan keadaan biasa. Situasi waktu itu adalah luar biasa, saya mengambil gambar dari tempat yang kurang cahaya menala kamera ke arah yang banyak cahaya. Subjek pula membelakangkan cahaya utama. Sekiranya anda gunakan kompak, ia akan nyalakan lampu kilat (flash) dan akan merosakkan gambar kerana subjek berada di belakang dinding kaca. Mengapa biarkan kamera membuat keputusan, sedangkan anda tahu suasana ketika mengambil gambar adalah luar biasa. Dengan dslr, saya boleh ubahsuai dedahan menggunakan dedahan manual atau ubah setting EV.
Foto 1, f/6.3, 1/60s
Saya telah ubah setting dedahan dari auto kepada manual. Bukaan lensa dikekalkan dan kelajuan pengatup dikurangkan kepada 1/30s iaitu +1EV. Hasilnya adalah sebagaimana Foto 2. Wajah kelihatan dengan jelas dan bahagian tangan kelihatan sedikit detail. Pokok dan meja juga kelihatan lebih detail.
Foto2, f/6.3, 1/30s
Bagaimanapun saya ingin lebih detail pada pakaian subjek, jadi saya tambahankan dedahan dengan mengubah kelajuan kepada 1/20s iaitu +0.3 EV. Hasilnya, adalah Foto 3. Subjek kelihatan lebih detail. Bagaimanapun pemukaan meja kelihatan cerah (burnt). Bagaimanapun, permukaan meja bukannya subjek utama. Wanita adalah subjek utama dalam gambar ini.
Foto 3, f/6.3, 1/20s
Jika anda gunakan dslr, mulalah "bermain" dengan setting manual. Ia memberikan anda kebebasan untuk menghasilkan imej mengikut interpretasi anda sendiri. Setting auto memang memudahkan, tetapi ia bukan untuk jurugambar yang berfikir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan